Rabi’ah binti Ismail al-Adawiyah tergolong wanita sufi yang terkenal
dalam sejarah Islam. Dia dilahirkan sekitar awal kurun kedua Hijrah berhampiran
kota Basrah di Iraq. Dia lahir dalam sebuah keluarga yang miskin dari segi
kebendaan namun kaya dengan peribadatan kepada Allah. Ayahnya pula hanya
bekerja mengangkut penumpang menyeberangi Sungai Dijlah dengan menggunakan
sampan.
Pada akhir kurun pertama Hijrah, keadaan hidup masyarakat Islam dalam
pemerintahan Bani Umaiyah yang sebelumnya terkenal dengan ketaqwaan telah
mulai berubah. Pergaulan semakin bebas dan orang ramai berlumba-lumba mencari
kekayaan. Justeru itu kejahatan dan maksiat tersebar luas. Pekerjaan menyanyi,
menari dan berhibur semakin diagung-agungkan. Maka ketajaman iman mulai
tumpul dan zaman hidup wara’ serta zuhud hampir lenyap sama sekali.
Namun begitu, Allah telah memelihara sebilangan kaum Muslimin agar tidak
terjerumus ke dalam fitnah tersebut. Pada masa itulah muncul satu gerakan
baru yang dinamakan Tasawuf Islami yang dipimpin oleh Hasan al-Bashri.
Pengikutnya terdiri daripada lelaki dan wanita. Mereka menghabiskan masa
dan tenaga untuk mendidik jiwa dan rohani mengatasi segala tuntutan hawa
nafu demi mendekatkan diri kepada Allah sebagai hamba yang benar-benar
taat.
Bapa Rabi’ah merupakan hamba yang sangat bertaqwa, tersingkir daripada
kemewahan dunia dan tidak pernah letih bersyukur kepada Allah. Dia mendidik
anak perempuannya menjadi muslimah yang berjiwa bersih. Pendidikan yang
diberikannya bersumberkan al-Quran semata-mata. Natijahnya Rabi’ah sendiri
begitu gemar membaca dan menghayati isi al-Quran sehigga berjaya menghafal
kandungan al-Quran. Sejak kecil lagi Rabi’ah sememangnya berjiwa halus,
mempunyai keyakinan yang tinggi serta keimanan yang mendalam.
Menjelang kedewasaannya, kehidupannya menjadi serba sempit. Keadaan
itu semakin buruk setelah beliau ditinggalkan ayah dan ibunya. Rabi’ah
juga tidak terkecuali daripada ujian yang bertujuan membuktikan keteguhan
iman. Ada riwayat yang mengatakan beliau telah terjebak dalam kancah maksiat.
Namun dengan limpah hidayah Allah, dengan asas keimanan yang belum padam
di hatinya, dia dipermudahkan oleh Allah untuk kembali bertaubat. Babak-babak
taubat inilah yang mungkin dapat menyedar serta mendorong hati kita merasai
cara yang sepatutnya seorang hamba brgantung harap kepada belas ihsan Tuhannya.
Marilah kita teliti ucapan Rabi’ah sewaktu kesunyian di ketenangan malam
ketika bermunajat kepada Allah:
“Ya Allah, ya Tuhanku. Aku berlindung diri kepada Engkau daripada
segala yang ada yang boleh memesongkan diri daripada-Mu, daripada segala
pendinding yang boleh mendinding antara aku dengan Engkau!
“Tuhanku! bintang-bintang telah menjelma indah, mata telah tidur
nyenyak, semua pemilik telah menutup pintunya dan inilah dudukku di hadapan-Mu.
“Tuhanku! Tiada kudengar suara binatang yang mengaum, tiada desiran
pohon yang bergeser, tiada desiran air yang mengalir, tiada siulan burung
yang menyanyi, tiada nikmatnya teduhan yang melindungi, tiada tiupan angin
yang nyaman, tiada dentuman guruh yang menakutkan melainkan aku dapati
semua itu menjadi bukti keEsaan-Mu dan menunjukkan tiada sesuatu yang menyamai-Mu.
“Sekelian manusia telah tidur dan semua orang telah lalai dengan
asyik maksyuknya. Yang tinggal hanya Rabi’ah yang banyak kesalahan di hadapan-Mu.
Maka moga-moga Engkau berikan suatu pandangan kepadanya yang akan menahannya
daripada tidur supaya dia dapat berkhidmat kepada-Mu.”
Rabi’ah juga pernah meraung memohon belas ihsan Allah SWT:
“Tuhanku! Engkau akan mendekatkan orang yang dekat di dalam kesunyian
kepada keagungan-Mu. Semua ikan di laut bertasbih di dalam lautan yang
mendalam dan kerana kebesaran kesucian-Mu, ombak di laut bertepukan. Engkaulah
Tuhan yang sujud kepada-Nya malam yang gelap, siang yang terang, falak
yang bulat, bulan yang menerangi, bintang yang berkerdipan dan setiap sesuatu
di sisi-Mu dengan takdir sebab Engkaulah Tuhan Yang Maha Tinggi lagi Maha
Perkasa.”
Setiap malam begitulah keadaan Rabi’ah. Apabila fajar menyinsing, Rabi’ah
terus juga bermunajat dengan ungkapan seperti:
“Wahai Tuhanku! Malam yang akan pergi dan siang pula akan mengganti.
Wahai malangnya diri! Apakah Engkau akan menerima malamku ini supaya aku
berasa bahagia ataupun Engkau akan menolaknya maka aku diberikan takziah?
Demi kemuliaan-Mu, jadikanlah caraku ini kekal selama Engkau menghidupkan
aku dan bantulah aku di atasnya. Demi kemuliaan-Mu, jika Engkau menghalauku
daripada pintu-Mu itu, nescaya aku akan tetap tidak bergerak juga dari
situ disebabkan hatiku sangat cinta kepada-Mu.”
Seperkara menarik tentang diri Rabi’ah ialah dia menolak lamaran untuk
berkahwin dengan alasan:
“Perkahwinan itu memang perlu bagi sesiapa yang mempunyai pilihan.
Adapun aku tiada mempunyai pilihan untuk diriku. Aku adalah milik Tuhanku
dan di bawah perintah-Nya. Aku tidak mempunyai apa-apa pun.”
Rabi’ah seolah-olah tidak mengenali yang lain daripada Allah. Oleh itu
dia terus-menerus mencintai Allah semata-mata. Dia tidak mempunyai tujuan
lain kecuali untuk mencapai keredaan Allah. Rabi’ah telah mempertalikan
akalnya, pemikirannya dan perasaannya hanya kepada akhirat semata-mata.
Dia sentiasa meletakkan kain kapannya di hadapannya dan sentiasa membelek-beleknya
setiap hari.
Selama 30 tahun dia terus-menerus mengulangi kata-kata ini dalam sembahyangnya:
“Ya Tuhanku! Tenggelamkanlah aku di dalam kecintaan-Mu supaya tiada
suatupun yang dapat memalingkan aku daripada-Mu.”
Antara syairnya yang masyhur berbunyi:
“Kekasihku tiada menyamai kekasih lain biar bagaimanapun,
Tiada selain Dia di dalam hatiku mempunyai tempat manapun,
Kekasihku ghaib daripada penglihatanku dan peribadiku sekalipun,
Akan tetapi Dia tidak pernah ghaib di dalam hatiku walau sedetik
pun.”
Rabi’ah telah membentuk satu cara yang luar biasa di dalam mencintai
Allah. Dia menjadikan kecintaan pada Ilahi itu sebagai satu cara untuk
membersihkan hati dan jiwa. Dia memulakan fahaman sufinya dengan menanamkan
rasa takut kepada kemurkaan Allah seperti yang pernah diluahkannya:
“Wahai Tuhanku! Apakah Engkau akan membakar dengan api hati yang
mencintai-Mu dan lisan yang menyebut-Mu dan hamba yang takut kepada-Mu?”
Kecintaan Rabi’ah kepada Allah berjaya melewati pengharapan untuk beroleh
syurga Allah semata-mata.
“Jika aku menyembah-Mu kerana takut daripada api neraka-Mu maka bakarlah
aku di dalamnya! Dan jika aku menyembah-Mu kerana tamak kepada syurga-Mu
maka haramkanlah aku daripadanya! Tetapi jika aku menyembah-Mu kerana kecintaanku
kepada-Mu maka berikanlah aku balasan yang besar, berilah aku melihat wajah-Mu
yang Maha Besar dan Maha Mulia itu.”
Begitulah keadaan kehidupan Rabi’ah yang ditakdirkan Allah untuk diuji
dengan keimanan serta kecintaan kepada-Nya. Rabi’ah meninggal dunia pada
135 Hijrah iaitu ketika usianya menjangkau 80 tahun. Moga-moga Allah meredainya,
amin!
Sekarang mari kita tinjau diri sendiri pula. Adakah kita menyedari satu
hakikat yang disebut oleh Allah di dalam Surah Ali Imran, ayat 142 yang
bermaksud:
“Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga padahal belum
nyata bagi Allah orang yang berjihad di antaramu dan belum nyata orang
yang sabar.”
Bagaimana perasaan kita apabila insan yang kita kasihi menyinggung perasaan
kita? Adakah kita terus berkecil hati dan meletakkan kesalahan kepada insan
berkenaan? Tidak terlintaskah untuk merasakan di dalam hati seumpama ini:
“Ya Allah! Ampunilah aku. Sesungguhnya hanya Engkau yang Maha Pengasih
lagi Maha Penyayang. Hanya kasih-Mu yang abadi dan hanya hidup di sisi-Mu
sahaja yang berkekalan. Selamatkanlah aku daripada tipu daya yang mengasyikkan.”
Sesungguhnya apa juga lintasan hati dan luahan rasa yang tercetus daripada
kita bergantung kepada cara hati kita berhubung dengan Allah. Semakin kita
kenali keluhuran cinta kepada Allah, maka bertambah erat pergantungan hati
kita kepada Allah serta melahirkan keyakinan cinta dan kasih yang sentiasa
subur.
Lanjutan itu jiwa kita tidak mudah berasa kecewa dengan gelagat sesama
insan yang pelbagai ragam. Keadaan begini sebenarnya terlebih dahulu perlu
dipupuk dengan melihat serta merenungi alam yang terbentang luas ini sebagai
anugerah besar daripada Allah untuk maslahat kehidupan manusia. Kemudian
cubalah hitung betapa banyaknya nikmat Allah kepada kita.
Dengan itu kita akan sedar bahawa kita sebenarnya hanya bergantung kepada
Allah. Bermula dari sini kita akan mampu membina perasaan cinta terhadap
Allah yang kemudian mesti diperkukuhkan dengan mencintai titah perintah
Allah. Mudah-mudahan nanti kita juga akan menjadi perindu cinta Allah yang
kekal abadi.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar